Protein Hydrolysis and Bioactive PeptidesCollagen: Extraction and CharacterizationMicrobial Metabolism and Applications

Zhi Yin Ter, Seng Joe Lim, Wan Aida Wan Mustapha

2026.3.31SAINS MALAYSIANA

DOI: 10.17576/jsm-2026-5503-07

Abstract

Dalam era kesihatan moden, pendekatan terhadap diet telah berubah daripada sekadar memenuhi keperluan pemakanan asas kepada menyokong fungsi fisiologi dan mencegah penyakit kronik. Peptida bioaktif ialah serpihan protein yang memberikan kesan positif terhadap fungsi badan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan manusia. Sumber peptida bioaktif merangkumi pelbagai bahan makanan daripada haiwan, tumbuhan dan sumber marin yang menghasilkan peptida dengan aktiviti biologi seperti antihipertensi, antioksidan, antimikrob dan antikanser. Peptida ini tersembunyi dalam struktur protein induk dan hanya dapat diaktifkan melalui proses hidrolisis. Dua pendekatan utama yang lazim digunakan untuk membebaskan peptida bioaktif daripada struktur protein induk ialah hidrolisis enzim dan fermentasi mikrob. Hidrolisis enzim melibatkan pemecahan ikatan peptida oleh enzim proteolitik seperti alkalase, pepsin dan tripsin. Sebaliknya, fermentasi mikrob menggunakan mikroorganisma seperti bakteria, kulat filamen dan yis untuk menghasilkan enzim secara semula jadi yang memecahkan protein kepada peptida bioaktif. Peptida bioaktif kini semakin mendapat perhatian dalam pembangunan produk makanan fungsian, nutraseutikal dan farmaseutikal kerana keupayaannya menyokong kesihatan secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, pelbagai cabaran masih perlu diatasi, termasuk isu berkaitan rasa pahit, ketulenan, kestabilan dan keberkesanan dalam sistem tubuh manusia. Tinjauan ini menekankan potensi besar peptida bioaktif sebagai komponen utama dalam pembangunan makanan generasi baharu, namun penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi mengoptimumkan kaedah penghasilan, proses pemurnian serta aplikasinya secara mampan dan berkesan dalam sistem fisiologi manusia.

Citation format

TER, Zhi Yin; LIM, Seng Joe; MUSTAPHA, Wan Aida Wan. Tinjauan peptida bioaktif daripada sumber makanan: Kaedah penghasilan, aplikasi, cabaran dan prospek masa depan. SAINS MALAYSIANA, 2026, 55(03): 435–448.