Linguistic, Cultural, and Literary StudiesIslamic Finance and Banking StudiesEducation and Islamic Studies

Muhammad Adnan Pitchan, Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim, Siti Nur Husna Abd Rahman

2026.3.31Jurnal Komunikasi-Malaysian Journal of Communication

DOI: 10.17576/jkmjc-2026-4201-15

Abstract

Transformasi perbankan digital telah menjadikan institusi perbankan sebagai aktor penting dalam pengurusan risiko keselamatan siber. Namun, peningkatan insiden jenayah siber seperti kehilangan wang tanpa disedari, serangan phishing dan kecurian identiti menunjukkan wujudnya jurang antara kecanggihan teknologi keselamatan perbankan dengan keberkesanan pengurusan risiko serta komunikasi keselamatan kepada pengguna. Walaupun institusi perbankan menekankan pematuhan piawaian dan sistem keselamatan yang canggih, pendekatan berorientasikan teknologi semata-mata didapati masih tidak mencukupi untuk menangani ancaman siber yang semakin kompleks dan sekali gus menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap perbankan internet. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan mengenal pasti isu utama keselamatan siber dalam perbankan internet di Malaysia, menganalisis peranan institusi perbankan dalam menangani ancaman tersebut serta meneliti cabaran strategik yang membataskan keberkesanan perlindungan pengguna. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui temu bual mendalam bersama enam orang informan daripada institusi perbankan terpilih di Kuala Lumpur yang melibatkan RHB Bank Berhad, CIMB Bank Berhad dan Affin Bank Berhad. Data dianalisis secara tematik bagi mengenal pasti pola dan cabaran institusi dalam pengurusan keselamatan siber perbankan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa keselamatan siber perbankan terbentuk melalui interaksi kompleks antara kelemahan sistem, kecuaian pengguna, jurang literasi digital serta keterbatasan komunikasi keselamatan. Selain itu, strategi komunikasi keselamatan yang bergantung kepada laman sesawang didapati kurang selari dengan corak penggunaan aplikasi perbankan mudah alih. Kajian ini mencadangkan agar pengurusan keselamatan siber perbankan beralih daripada pendekatan teknikal semata-mata kepada kerangka pengurusan risiko yang menekankan komunikasi strategik, pendidikan pengguna dan akauntabiliti institusi.

Kata kunci: Keselamatan siber perbankan, komunikasi risiko, jenayah siber, literasi digital pengguna, kepercayaan institusi.

Citation format

PITCHAN, Muhammad Adnan; RAHIM, Nur Izzah ‘Atirah Abdul; RAHMAN, Siti Nur Husna Abd. Pengurusan keselamatan siber perbankan internet di malaysia melalui pendekatan teknologi dan komunikasi risiko. Jurnal Komunikasi-Malaysian Journal of Communication, 2026, 42(1): 268–287.